Font Size

Layout

Menu Style

Cpanel

Waytha: Tak ada PM yang pernah bela nasib masyarakat India -TMT

waytha-pm-malaysia.jpgKUALA LUMPUR, 18 Mei: Hindraf hari ini berkata tidak ada pemimpin yang pernah membela nasib penduduk masyarakat kaum India di Malaysia.

“Dari dulu lagi, tidak ada mana-mana pemimpin yang pernah bela nasib masyarakat India. Tidak kiralah dari zaman sebelum Tun Dr Mahathir ataupun zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Selama 40 tahun nasib masyarakat India masih lagi sama,” kata Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy.

“Cuma sekarang ini dibawah pimpinan (Datuk Seri) Najib Tun Razak nasib masyarakat India masih lagi tidak terbela malah lebih teruk,” tegasnya lagi.

Waytha mendakwa Perdana Menteri Najib menggunakan parti komponen Barisan nasional (BN) seperti MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk terus menipu bagi mendapat undi masyarakat India.

Beliau berkata perjanjian persefahaman yang dibuat diantara pertubuhan itu dengan kerajaan dua tahun lalu agar satu penyelesaian boleh dilaksanakan ekoran masalah sosioekonomi yang membelenggu kaum India di negara ini tidak pernah dilaksanakan.

“Nasib masyarakat India di bawah pimpinan Najib lebih teruk berbanding sebelum ini. Semua janji yang beliau buat semua tidak ditunaikan. Janji-janji Najib sebelum ini hanya untuk raih undi sahaja.

“Lebih teruk lagi, Najib gunakan MIC dan PPP untuk dapat undi masyarakat India tetapi tidak ada satu janji pun yang berjaya beliau tunaikan,” kata Waytha kepada The malaysian Times (TMT) hari ini.

Beliau yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika di minta mengulas mengenai nasib masyarakat India di negara ini di bawah pimpinan Najib.

Isu ini berbangkit setelah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwin Serigar Abdullah mendedahkan angka daripada kementerian mengatakan Najib yang juga menteri kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM2.88 bilion antara 2012 hingga 2014 serta RM260 juta pada 2015 untuk program menaikkan taraf hidup masyarakat India.

Susulan daripada itu, Hindraf semalam membuat laporan polis supaya isu ini disiasat.

Hindraf tunggu respon kementerian

Menurut Waytha, setelah laporan polis ini dibuat, mereka akan menunggu respon daripada kementerian dan jika masih tiada sebarang tindakan diambil, barulah Hindraf akan menentukan langkah seterusnya.

“Kita tengok dahulu apa yang pihak polis akan buat dan selepas itu baru kita putuskan apa langkah seterusnya. Kita masih belum ada apa-apa rancangan untuk berjumpa dengan mana-mana menteri lagi berhubung perkara ini.

“Yang penting, kita tunggu dahulu siasatan daripada pihak polis,” tegas beliau.